~ bumi dipijak milik orang ~

Sunday, June 22, 2008

Apakah UMNO masih Relevan menjaga Hak Orang Melayu?

KETEGUHAN INSTITUSI PRESIDEN, LAMBANG KEKUATAN PARTI...!!!?

UMNO telah lebih 60 tahun bertapak di bumi Tanah Melayu. Hari ini UMNO bukan sahaja dikenali oleh rakyat Malaysia tetapi turut terkenal di persada dunia. Malaysia yang telah ditadbir sebaik-baiknya oleh kerajaan Barisan Nasional telah menarik perhatian banyak negara di dunia untuk tampil mendampingi kita. Mereka ingin mengetahui dan mempelajari kaedah tadbir urus negara yang terbukti berkesan dalam menjamin ketenteraman dan keharmonian rakyat berbilang bangsa dan agama. Ini merangkumi pentadbiran institusi politik serta pengurusan kekayaan dan perolehan negara.

Justeru itu, UMNO sebagai parti komponen terbesar dalam Barisan Nasional perlu terus berperanan untuk memastikan penghormatan yang telah diletakkan oleh rakyat dan negara-negara lain di dunia tidak dipersia-siakan. Segala kepercayaan dan sanjungan yang diterima seharusnya kian menyemarakkan semangat kita untuk terus bernaung dan bersatu teguh di bawah panji-panji UMNO.

Kedudukan dan kuasa yang ada pada kita adalah amanah…amanah…amanah dan bukannya anugerah yang hendak dibangga-banggakan dan dijaja ke sana ke mari. Jika orang mengamanahkan kita ilmu, maka ilmu itu hendaklah kita sampaikan. Jika orang mengamanahkan kita duit, duit itu pula hendaklah kita perlakukan menurut amanah itu tadi. Begitu jugalah apabila kita diamanahkan kedudukan dan kuasa, maka kedua-duanya ini adalah tanggungjawab yang bukan sahaja harus dipikul tetapi wajib dilaksanakan dan ditunaikan ke arah kebaikan demi agama, bangsa dan negara.

Bercakap tentang kedudukan dan kuasa dalam UMNO, kita tidak lari dari memperkatakan tentang tugas dan tanggungjawab. Bercakap mengenai tugas dan tanggungjawab, sudah pasti akan menyentuh struktur kepimpinan dalam UMNO itu sendiri. Sesebuah pertubuhan akan dilihat tidak berfungsi jika di dalamnya tiada struktur yang mengepalai dan menggerakkannya ke arah matlamat pertubuhan. Di sinilah akan wujudnya sebuah institusi kepimpinan. Berbicara pula dalam konteks parti, maka institusi kepimpinan ini kita panggil sebagai INSTITUSI PRESIDEN.

Merujuk kepada Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, “Institusi” ditafsirkan sebagai badan yang ditubuhkan untuk melaksanakan tugas-tugas tertentu. Dengan ini, ‘Institusi Presiden’ bolehlah dikatakan sebagai badan kepimpinan yang diwujudkan dalam UMNO untuk bertindak sebagai nukleus dalam satu sel hidup atau jantung dalam sistem badan manusia. Rosak atau runtuhnya institusi ini sudah pasti akan meranapkan parti keramat yang kita agung-agungkan selama ini. Manakala keteguhan institusi presiden akan menjadi lambang kepada kekuatan parti.

Meskipun tiada tugas-tugas yang lebih terperinci disebutkan dalam Perlembagaan UMNO di bawah Perkara 9 Majlis Tertinggi Fasal 9.8 Bil. 1 tentang tugas-tugas seorang presiden tetapi Perkara 3 Asas Dan Tujuan yang didahului dengan ayat,

“UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara”

Fasal 3.1 telah jelas menyebut bahawa UMNO ditubuhkan untuk mempertahankan kemerdekaan tetapi mengapa seringkali tindakan segelintir mereka yang berada di dalam institusi presiden seolah-olah menyeret negara kembali ke arah penjajahan. Jika dahulu, penjajah perlu memijak kaki di bumi Tanah Melayu untuk menjajah, hari ini penjajah hanya memerlukan hati dan minda kita untuk melakukan penjajahan semula. Mengambil contoh, mengapa negara-negara Islam begitu payah untuk mencapai kata sepakat dalam mencari kebaikan untuk orang Islam sendiri? Ini kerana, hati dan pemikiran pemimpin mereka telah dapat ditawan oleh anasir-anasir Barat. Itu sahaja jawapannya. Jawapan yang selain daripada itu hanyalah alasan semata-mata.

Jangan kita ingat generasi pasca merdeka hanya perlu mengisi kemerdekaan negara. Malah semua generasi Melayu perlu terus berjuang untuk membebaskan hati dan minda kita termasuk anak-anak kita dari belenggu ideologi dan budaya Barat; perlu terus berjuang untuk menghilangkan kesan-kesan penjajahan yang mewarnai sistem hidup kita di Tanah Melayu; perlu terus mengembalikan kegemilangan, maruah, peribadi dan jati diri orang-orang Melayu yang berteraskan Islam. Bukankah Perlembagaan Persekutuan itu sendiri dalam BAHAGIAN 12, Perkara 160 Tafsiran, Fasal 2 telah menggariskan salah satu pengertian ‘Melayu’ itu adalah seseorang yang menganut agama Islam.

Apakah peranan institusi presiden dalam menegakkan, mempertahankan dan mengembangkan agama Islam, agama rasmi negara sepertimana disebutkan dalam Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO? Ada beberapa tindakan kita sejak akhir-akhir ini mengundang rasa tidak senang di kalangan ahli UMNO yang tahu dan faham akan perjuangan sebenar parti. Di mana hilangnya ketegasan, hikmah dan kebijaksanaan kita dalam menyusun atur langkah demi langkah? Selama ini kita bercakap sebagai menteri tetapi kita lupa bahawa kita juga adalah anggota Majlis Tertinggi UMNO yang menjunjung Perkara 3 Perlembagaan UMNO.

Bidang kuasa institusi presiden di bawah Perlembagaan UMNO sangat penting kepada orang-orang Melayu khususnya kedudukan Presiden sebagai ketua kepada sebuah parti politik terbesar dan banyak berjasa terhadap orang-orang Melayu. Kedudukan institusi presiden dan kuasa pada mereka yang menganggotai kepimpinannya wujud sebagai bukti penyatuan orang-orang Melayu yang bertunjang dalam sejarah negara. Biarlah institusi ini terus berakar teguh sebagai lambang kekuatan parti.

Jangan kita leka bersorak, rupanya kampung telah tergadai. Jangan lagi kita terbuai-buai dengan peribahasa ‘ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan’ tanpa kita sedari bahawa ayam di kepuk akan mati kekenyangan, itik di air akan mati kelemasan. Sekiranya hari ini kita mengajar anak-anak kita dalam UMNO bahawa tegur itu kritikan dan nasihat itu sindiran, maka tunggulah satu hari yang tiada lagi kebaikan dalam UMNO. Pada ketika itu, parti keramat yang kita agung-agungkan ini akan ranap bukan disebabkan tiada lagi perpaduan tetapi hanya disebabkan kita meninggalkan kebaikan dan menyanjung keburukan; mengetepikan kebenaran, mengenengahkan kepalsuan.

1 comment:

babijantan said...

BABIJANTAN SAID

Buat apa nak buat baik jika hanya kuasa yang nak digapai. Melayu akan terus hilang jika terus berbalah. Pemimpin datang dan pergi, UMNO tetap teguh jika faham perjuangannya. Kalau tak, tengok di musium selepas PRU 13. Kurangkan hiburan, kurangkan berbalah banyakan bekerja membangunkan kembali kepercayaan yang semakin pudar. Yang di atas turunlah tengok yang dibawah, kerna yang dibawah boleh mengubah yang diatas.

KOMEN...!!!??


Free chat widget @ ShoutMix